Friday, February 11, 2005
|
MENGURUSKAN jenazah adalah perkara yang tidak boleh dielak atau diabaikan begitu saja. Ia adalah tuntutan fardu kifayah ke atas umat Islam iaitu dengan adanya sebahagian umat Islam yang melaksanakannya, akan selesai tanggungjawab itu.
Namun, dalam melaksanakan urusan itu, kita perlu mengetahui adab dan masa berbuat demikian.Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhhani, katanya, ada tiga macam waktu, di mana Rasulullah saw melarang kita solat atau menguburkan jenazah pada waktu-waktu itu.
Pertama, saat matahari terbit hingga ia agak meninggi.
Kedua, saat matahari tepat berada di pertengahan langit (tengah hari tepat) hingga ia condong ke Barat.
Ketiga, saat matahari hampir terbenam hingga ia tenggelam sama sekali.
Dalam pada itu, orang yang paling berhak dan afdal untuk menguruskan jenazah adalah dari kalangan keluarga atau waris si mati sendiri yang terdekat. Contohnya, anak si mati sekiranya si mati adalah bapanya dan sekiranya warisnya itu tidak berkemampuan atau berpengalaman, maka bolehlah meminta bantuan imam atau bilal di kawasan itu untuk menguruskannya.
Cara mengebumikan mayat juga hendaklah dilakukan selari dengan apa yang diajar oleh Rasulullah iaitu jenazah hendaklah dibaringkan di atas rusuk sebelah kanan dan menghadap kiblat.
Permukaan tanah kubur pula hendaklah lebih tinggi sedikit dari permukaan bumi agar diketahui kewujudan sesuatu kubur berkenaan. Namun, di sini tidak ada kewajiban untuk memberi tanda contohnya (nesan) di atas kubur seseorang kerana lazimnya satu lubang kubur boleh diisi semula setelah beberapa tempoh berlalu. Selain itu, jenazah perlu segera dikebumikan. Hal ini seperti daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda: "Segerakan menguburkan mayat, jika ia baik bererti kamu telah menyampaikan kepada kebaikannya dan jika ia tidak baik bererti kamu telah menghindarkan bahaya daripadamu." (Hadis riwayat Bukhari)Seperkara yang perlu diberi perhatian dalam menghadapi atau mengurus jenazah adalah tidak meratapi pemergian si mati secara berlebih-lebihan seperti meraung-raung atau berkelakuan tidak waras.
Daripada Abdullah, katanya, Nabi bersabda: “Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar–nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan jahiliah (kerana meratapi mayat).” Allah yang menciptakan ketawa dan tangis serta menciptakan sebab tercetusnya perbuatan itu.Ada tangisan yang sangat dicela, umpamanya, meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan yang sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa silam atau menangis kerana takut akan azab dan seksaan Allah.
Sabar itu adalah pada awal kejadian. Oleh itu seseorang yang kehilangan orang yang disayanginya disebabkan meninggal dunia hendaklah bersabar dan tabah. Hal ini kerana sesungguhnya mayat akan terseksa kerana ratapan (penyesalan kerana pemergiannya) daripada ahli keluarganya.Sedangkan kematian itu adalah suatu perkara yang pasti dan tidak dapat dielakkan oleh setiap manusia.
Setiap Muslim harus menyedari bahawa segala yang berlaku adalah takdir dan ketentuan daripada Allah. Oleh itu, kita hendaklah menjauh dan meninggalkan segala perkara yang tidak sesuai dengan nilai Islam seperti meratapi orang yang telah meninggal dunia. Perkara itu kerana amalan ini seperti yang dilakukan oleh masyarakat bukan Islam pada zaman jahiliah.
Satu lagi perkara yang perlu direnung mengenai jenazah adalah hadis daripada Abu Qatadah bin Rabi’, bahawa beliau menceritakan pada suatu ketika ada jenazah berlalu di hadapan Nabi Muhammad saw. Lalu, Baginda bersabda bermaksud: “Senang dan menyenangkan.” Sahabat bertanya: “Apa maksud ucapan tuan itu, ya Rasulullah?” Jawab Nabi: “Apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka dia telah senang (istirahat) daripada kesusahan dunia. Dan apabila seorang jahat yang meninggal, maka dia menyenangkan (mengistirahatkan) seluruh hamba Allah, seluruh negeri, pohon dan binatang daripada kejahatannya.”
artikel petikan drp Berita Harian 28 January 2005 * A E Y J A Y bisikan & nukilan isi hati seorang insan
3:30 AM