Wednesday, September 21, 2005
|
Malaikat tawaf di Baitul Makmur sampai kiamat
PADA zaman Nabi Adam, Allah memerintahkan Nabi Adam membina sebuah Kaabah yang kedudukannya menyamai kedudukan setiap Kaabah yang ada dalam setiap lapisan langit, iaitu sebanyak tujuh lapis semuanya.
Baitul Makmur yang letaknya di bawah Arasy ialah Kaabah yang pertama.Setiap hari jutaan malaikat sentiasa mengerjakan tawaf yang diperintahkan Allah kepada mereka. Malaikat akan terus mengerjakan ibadat tawaf ini hingga hari kiamat.Kemudian selepas binaan Kaabah runtuh dan musnah kerana banjir pada zaman Nabi Nuh,Kaabah sekali lagi dibina yang diasaskan tempatnya melalui firman Allah sendiri kepada Nabi Ibrahim. Kaabah inilah yang digunakan untuk beribadat oleh umat manusia sehingga hari kiamat.
Nabi Ibrahim dikurniakan dua cahaya mata daripada Siti Hajar dan Siti Sarah iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak.Ketika dilahirkan, Nabi Ismail dan ibunya, Siti Hajar ditinggalkan di Makkah dengan perintah Allah, manakala Nabi Ibrahim pulang dan tinggal bersama Siti Sarah dan anaknya, Nabi Ishak.Ketika ditinggalkan bersendirian di padang pasir yang tandus tanpa pertolongan manusia atau sebarang makanan dan minuman, Siti Hajar tidak dapat berbuat apa-apa apabila bayinya yang baru lahir menangis kehausan.Namun dengan izin Allah, Malaikat Jibril diutuskan membantu kesengsaraan dua beranak ini dengan mengeluarkan air dari tempat hentakan kaki Nabi Ismail yang tidak henti menangis kerana dahaga.Akhirnya dapatlah mereka minum air yang memancut keluar dari perut bumi itu.Perigi tempat keluarnya air itu dikenal dengan nama zamzam.Tidak lama kemudian, dua orang daripada Kabilah Amalikat sampai ke Makkah mencari unta yang hilang.Mereka terjumpa Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail dan mereka juga dapat menikmati air telaga zamzam itu.Lalu mereka kembali ke kampung halaman dan menceritakan mengenai kewujudan sumber air zamzam di Makkah.
Kabilah itu berhijrah ke Makkah dan menjadi pemastautin Makkah dengan bercucuk tanam di bumi itu hingga Makkah menjadi sebuah negeri yang makmur.Beberapa tahun kemudian, Nabi Ibrahim kembali ke Makkah, tetapi tidak dapat berjumpa dengan isterinya, Siti Hajar yang sudah meninggal dunia.Anaknya, Nabi Ismail dewasa dan berumah tangga.Nabi Ibrahim kemudian bertemu dengan isteri Nabi Ismail di rumah mereka tetapi tidak dilayan oleh menantunya serta enggan memberi air minuman.Nabi Ibrahim meminta menantunya memberitahu suaminya supaya menukar tapak pintu rumah apabila Nabi Ismail pulang nanti. Perkara ini disampaikan kepada Nabi Ismail dan Baginda segera memahami maksud penukaran pintu itu iaitu menceraikan isterinya yang tidak berakhlak mulia.Beberapa tahun kemudian, Nabi Ibrahim kembali lagi dan mengunjungi rumah anaknya. Seperti sebelumnya, Nabi Ibrahim belum dapat berjumpa dengan anaknya, tetapi kali ini menantu baru menerima dan memberi penghormatan secukupnya kepada Baginda.
Perubahan ini menggembirakan Nabi Ibrahim dan berpesan kepada menantunya itu agar memberitahu suaminya, Nabi Ismail supaya mengekalkan papan pintu rumahnya yang bermaksud, Nabi Ismail kini mempunyai isteri yang salihah.Daripada isteri keduanya, Nabi Ismail memperoleh 12 anak dan menjadi asas keturunan Arab. Selepas itu Siti Sarah wafat di Sham, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim pulang semula ke Makkah dan membina Kaabah bersama anaknya, Nabi Ismail. Mereka pun membina Kaabah dengan bantuan malaikat.Ketika Nabi Adam membina Kaabah dulu, Allah menurunkan satu batu bernama Hajarul Aswad dan ketika banjir pada zaman Nabi Nuh, batu itu diselamatkan Allah.Dengan perintah Allah, Hajarul Aswad dibawa Jibrail dan diletakkan pada hujung penjuru Kaabah. Dengan peletakan batu itu, melengkapkan pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim.
dipetik dari Berita Harian Online 21 September 2005
* A E Y J A Y bisikan & nukilan isi hati seorang insan
11:34 AM